SEREMBAN, 28 Mac 2026 – “Kalau mereka terus nak bercakap soal Sabah, terpulanglah. Tapi kita menolak apa yang dinyatakan kerana tuntutan mereka itu suatu yang tidak berasas,” demikian kata Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berhubung kenyataan terbaharu senator Filipina mengenai tuntutan terhadap Sabah.
Beliau berkata, Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Filipina bagi menolak sebarang kenyataan yang membangkitkan semula tuntutan ke atas negeri tersebut.
Menurutnya, perkara itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia sering timbul terutama ketika berlakunya isu dalaman di Filipina.
“Ini bukan perkara baharu. Setiap kali berlaku isu dalam negara mereka, akan ada pihak yang cuba mengalih perhatian dengan membangkitkan perkara seperti ini.
“Jadi kita (Wisma Putra) akan menghantar nota diplomatik terhadap apa yang dinyatakan seperti mana kebiasaannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Rantau, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. supaya menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah.
Ahli Parlimen Rembau itu berpandangan tindakan tersebut dilihat sebagai usaha mengalih perhatian rakyat Filipina daripada isu dalaman yang sedang dihadapi negara berkenaan.
“Saya percaya rakyat Filipina sendiri pun dah faham. Namun, ada segelintir ahli politik yang cuba menjuarai isu tertentu bagi mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar.
“Setiap kali kenyataan yang mereka buat, kita akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Filipina bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan bahawa Sabah telah memilih untuk menyertai Malaysia melalui proses Suruhanjaya Cobbold, dan keputusan tersebut turut diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, beliau berkata kenyataan berulang oleh pemimpin tertentu di Filipina berhubung isu berkenaan tidak menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina.
Menurutnya, kenyataan tersebut dibuat oleh individu tertentu dan bukan pendirian rasmi kerajaan Filipina.
“Saya yakin setelah banyak tuntutan dibuat, ia tidak pernah mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambahan pula Filipina merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.




