TAWAU – Keperluan bekalan beras di Sabah dianggarkan sekitar 300,000 tan metrik setahun berdasarkan jumlah penduduk semasa, sekali gus menuntut langkah lebih kukuh dalam menjamin keselamatan makanan negeri.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 150,000 tan metrik dicadangkan sebagai stok simpanan bagi tempoh enam bulan, sekiranya berlaku gangguan bekalan seperti sekatan eksport atau krisis global.
Aktivis masyarakat, Mohd Zaki Harry Susanto berkata, anggaran tersebut dibuat dengan mengambil kira populasi Sabah sekitar 3.76 juta orang dan kadar penggunaan kira-kira 80 kilogram beras bagi setiap individu setahun.
Secara purata, penggunaan bulanan di negeri ini mencecah 25,000 tan metrik.
Beliau menjelaskan, jumlah yang dikira itu hanya melibatkan beras putih asas termasuk kategori lima peratus hancur, dan tidak mengambil kira beras premium seperti basmati, pulut atau beras wangi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa bekalan yang berada di pasaran seperti di pasar raya, restoran atau gudang pemborong tidak boleh dianggap sebagai stok keselamatan negeri.
Katanya, stok penimbal sebenar ialah simpanan yang dikawal di peringkat pusat di bawah seliaan Padiberas Nasional Berhad, kerana sebaik sahaja beras diagihkan kepada pemborong, ia tidak lagi berada dalam sistem simpanan.
Sabah ketika ini masih mempunyai tahap sara diri (SSL) yang rendah, iaitu sekitar 19 peratus, menyebabkan sebahagian besar bekalan, kira-kira 81 peratus, perlu diperoleh melalui import.
Keadaan ini berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang mempunyai SSL sekitar 60 peratus, sekali gus lebih stabil dari segi bekalan.
Menurut beliau, kebergantungan tinggi terhadap import menjadikan Sabah terdedah kepada pelbagai risiko luaran termasuk turun naik harga, sekatan eksport dan ketidaktentuan geopolitik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Sabah diberikan kuasa autonomi dalam pengurusan import melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah.
Langkah itu, katanya, membolehkan negeri ini menentukan sendiri sumber bekalan, mempercepatkan kemasukan beras dan memastikan paras stok sentiasa mencukupi.
Beliau menegaskan, autonomi tersebut penting bagi memastikan keterjaminan makanan rakyat terus terpelihara, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan bekalan di peringkat global.




