KPDN rampas 1,350 liter diesel diseleweng di Tawau

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau telah merampas 1,350 liter minyak diesel bernilai RM104,256.25 dalam satu serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

Sebanyak 1,350 liter diesel disyaki diseleweng berjaya dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di sini, melibatkan sebuah lori yang telah diubah suai untuk tujuan penyimpanan dan pemindahan bahan api secara tidak sah.

Menurut KPDN Sabah, operasi berkenaan turut menemukan sebuah lori jenis Isuzu 8 tan yang dilengkapi tangki tambahan yang telah diubah suai, bersama peralatan lain seperti tong dram besi, hos paip minyak serta mesin pam.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM104,256.25,” menurut kenyataan itu.

Susulan rampasan tersebut, KPDN Tawau telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi perundangan berkaitan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi.

Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122, dengan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta bagi individu.

Sementara itu, bagi syarikat yang disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

KPDN menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan serta memastikan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.