KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar menegaskan masyarakat Sabah, terutama orang asal, perlu diberi kefahaman lebih mendalam mengenai isu pelarian dengan pendekatan rasional serta berteraskan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, persepsi negatif terhadap golongan pelarian masih wujud dalam masyarakat termasuk pelbagai label dan stigma yang dilemparkan terhadap mereka.
Menurutnya, isu pelarian perlu dilihat daripada sudut lebih luas termasuk perspektif Islam dan sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW.
“Kalau kita lihat dalam konteks kemanusiaan, Nabi SAW sendiri berhijrah dari Makkah. Secara fizikalnya, baginda juga adalah seorang pelarian, cuma kita tidak melihatnya begitu kerana hijrah itu berkait dengan penyelamatan agama dan akidah,” katanya ketika menjadi panel Agenda Awani bertajuk Pendirian Islam Terhadap Perlindungan Pelarian.
Beliau menjelaskan, hakikat pelarian ialah seseorang yang berpindah dan memohon perlindungan di kawasan baharu demi keselamatan serta kelangsungan hidup.
Sehubungan itu, beliau berpandangan masih banyak pendidikan dan kesedaran perlu diberikan kepada masyarakat Sabah, khususnya warga tempatan, supaya isu pelarian dapat dilihat secara lebih rasional dan berperikemanusiaan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan usaha penambahbaikan dalam pengurusan isu pelarian perlu dilakukan secara berterusan dan tidak boleh dihentikan.
Mengulas kebimbangan rakyat mengenai kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk membantu komuniti pelarian, beliau berkata isu tersebut perlu dilihat daripada sudut jangka panjang.
“Kalau isu pelarian ini tidak diselesaikan, ia boleh ‘backfire’ kepada kita sendiri. Contohnya dalam isu pendidikan. Jika generasi pelarian ini dibiarkan tanpa pendidikan, terjebak dengan gejala sosial seperti menghidu gam, masalah itu tidak akan selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan pengacara mengenai sentimen xenofobia yang masih berlaku di Sabah, termasuk persepsi bahawa sebahagian pelarian dianggap kotor, tidak bertamadun dan tidak berpendidikan.
Menurut pengacara itu, walaupun terdapat pelbagai cabaran berkaitan penempatan pelarian di Sabah, pihak berkuasa negara tetap mengambil pendekatan berperikemanusiaan dan tidak mengusir mereka secara keras.
#TawauKini