Respons penduduk Pantai Timur Sabah beri gambaran tahap kesiapsiagaan komuniti

Respons penduduk Pantai Timur Sabah beri gambaran tahap kesiapsiagaan komuniti

Langkah berjaga-jaga yang diambil penduduk di beberapa daerah pantai timur Sabah susulan amaran tsunami menunjukkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan.

Di Tawau dan Kunak, sebahagian sekolah membenarkan murid pulang lebih awal selepas ibu bapa hadir mengambil anak masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada masa sama, beberapa premis termasuk Pasar Tanjung Tawau menghentikan operasi sementara, manakala pergerakan kenderaan turut meningkat di beberapa laluan apabila penduduk memilih untuk menjauhi kawasan berhampiran pantai.

Tindakan yang diambil oleh penduduk, pihak sekolah dan peniaga sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa menggambarkan tahap kewaspadaan masyarakat terhadap sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, keadaan kekal terkawal dan tiada insiden tidak diingini dilaporkan sebelum amaran tsunami ditamatkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Terdahulu, amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa bumi berukuran 7.9 magnitud yang melanda Mindanao, Filipina sebelum amaran berkenaan ditamatkan selepas pemantauan mendapati tiada ancaman signifikan kepada kawasan yang terlibat.