Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 sasar lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara

Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 sasar lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara

Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 dijadual berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dengan sasaran menghimpunkan lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Md Mansur berkata, penyertaan kali ini dijangka melibatkan peserta dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia serta beberapa negara lain.

Beliau berkata, penganjuran PBAKK 2026 merupakan hasil kerjasama UMS bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS), Perpustakaan Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memperkukuh budaya ilmu, memperluas jaringan penerbitan serta mengetengahkan buku-buku berkaitan Borneo kepada masyarakat serantau.

“Selain pesta buku, kita juga akan mengadakan pelancaran beberapa buah buku serta mencadangkan pengenalan Anugerah Piala Buku Terbaik Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang merangkumi kategori Penulis Terbaik, Buku Borneo Terbaik dan Penerbit Buku Terbaik.

“Kita menjangkakan, seperti tahun lalu, peserta yang mengambil bahagian datang dari seluruh Borneo. Kita telah menjemput rakan-rakan strategik dari Kalimantan, Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, selain rakan strategik dari Filipina, Indonesia serta beberapa negara lain.