Ancaman Syabu di Tawau perlu ditangani secara menyeluruh – Nizam

Ancaman Syabu di Tawau perlu ditangani secara menyeluruh – Nizam

TAWAU: Kedudukan Tawau yang berhampiran sempadan antarabangsa tidak boleh dipandang ringan apabila daerah itu terus berdepan ancaman penyalahgunaan dadah, khususnya syabu, sekali gus memerlukan usaha pencegahan diperkasakan secara menyeluruh.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penglibatan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Tawau dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Ke-11 merupakan antara pendekatan terbaik untuk mendekati masyarakat sambil menyampaikan mesej antidadah dalam suasana yang lebih santai.

Menurut beliau, penganjuran program bersama masyarakat bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Tanggungjawab memerangi dadah bukan hanya terletak pada kerajaan atau agensi penguat kuasa, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk NGO, ibu bapa dan masyarakat.”

“Kita mahu memastikan anak-anak muda serta institusi keluarga terus dilindungi daripada ancaman penyalahgunaan dadah,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Memancing sempena FKAT Ke-11 anjuran PEMADAM Daerah Tawau.

Beliau berkata, Tawau dikenal pasti mempunyai beberapa lokasi panas berkaitan penyalahgunaan syabu dan keadaan itu menuntut tindakan berterusan daripada semua pihak bagi membendung gejala tersebut daripada terus menular.

Menurutnya, faktor kedudukan Tawau yang berhampiran Filipina dan Indonesia turut membuka ruang kepada kemasukan pengaruh luar yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat sekiranya tidak dikawal.

“Kalau pengaruh yang datang itu baik, kita alu-alukan. Namun, kita bimbang jika budaya negatif dibawa masuk sehingga merosakkan masa depan anak-anak dan masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran FKAT Ke-11, Nizam berkata festival itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana bukan sahaja menjadi platform mempromosikan kebudayaan pelbagai kaum, malah turut dimanfaatkan untuk menyampaikan pelbagai mesej sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut memuji usaha Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang berjaya menghidupkan festival itu menerusi pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan memancing, dron dan layang-layang, sekali gus menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, usaha itu bukan sahaja memeriahkan suasana festival, malah membantu mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

“FKAT berpotensi berkembang sebagai acara bertaraf antarabangsa dengan menarik lebih ramai penyertaan dari seluruh negara serta luar negara, sekali gus mengangkat Tawau sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya, harmoni dan perpaduan,” katanya.

Beliau berharap penganjuran FKAT akan terus diperkasakan pada masa hadapan agar bukan sahaja menjadi acara kebudayaan yang dinanti-nantikan, malah berfungsi sebagai medium menyatukan masyarakat serta menyebarkan mesej positif, termasuk usaha memerangi penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan generasi akan datang.