LAHAD DATU: Polis menahan empat individu dan merampas sebanyak 92 kilogram (kg) serbuk ketum serta sejumlah kecil dadah disyaki syabu dalam Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi berkenaan membawa kepada penemuan 92 bungkusan serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan 92kg.
Menurut beliau, nilai keseluruhan serbuk ketum yang dirampas itu dianggarkan berjumlah kira-kira RM9,200.
Selain serbuk ketum, polis turut merampas 0.12 gram dadah yang disyaki syabu serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Daripada empat individu yang ditahan, seorang suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (METH) berdasarkan ujian saringan awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Dzulbaharin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan bahan terlarang berkenaan.
“Semua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan memohon perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan BSJND IPD Lahad Datu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta bahan terlarang di daerah berkenaan.
Dzulbaharin menegaskan pihak polis akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan berkaitan dadah dapat dibanteras secara berterusan.
“Polis komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.