Tiada kutipan data dari rumah ke rumah, tegas Sabah Electricity

Tiada kutipan data dari rumah ke rumah, tegas Sabah Electricity

KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menegaskan pihaknya tidak pernah menjalankan sebarang aktiviti pengumpulan atau kutipan data peribadi pelanggan dari rumah ke rumah.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat utiliti itu menasihati orang ramai supaya tidak mengisi borang atau menyerahkan maklumat peribadi kepada mana-mana individu yang hadir ke kediaman mereka bagi tujuan berkenaan.

Menurut Sabah Electricity, sebarang urusan berkaitan data peribadi pelanggan hanya dilaksanakan melalui kaunter atau saluran rasmi syarikat, dengan maklumat dikendalikan selaras keperluan perlindungan data peribadi yang berkuat kuasa.

Orang ramai turut diingatkan supaya berwaspada terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan borang palsu bagi mendapatkan maklumat pengguna secara tidak sah.

Pengguna yang didatangi individu mencurigakan dan mendakwa mewakili Sabah Electricity diminta tidak menandatangani sebarang dokumen, sebaliknya mengesahkan identiti mereka terlebih dahulu.

Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444 atau 088-515000, melalui e-mel [email protected], atau dengan hadir ke kaunter perkhidmatan pengguna terdekat.

– BERNAMA