TAWAU – Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian, malah turut memberi limpahan manfaat kepada usahawan dan peniaga tempatan, kata Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program turun padang SARA di DPRO Sdn Bhd, Jalan Bunga Tanjung, di sini.

Menurut beliau, lawatan ke premis berkenaan memberi gambaran bagaimana penerima SARA di kawasan bandar menggunakan kemudahan tersebut untuk mendapatkan barangan keperluan harian tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Katanya, situasi itu berbeza dengan lawatan beliau sebelum ini ke Pulau Bum Bum, apabila kewujudan kedai yang menerima SARA di kawasan pedalaman membolehkan penduduk mendapatkan keperluan di lokasi masing-masing.
“Kalau kita bagi dengan cara tunai, kadang-kadang mereka terpaksa keluar dari pedalaman dan datang ke bandar untuk mendapatkan tunai. Bila keluar, mereka perlu membayar kos pengangkutan.
“Tetapi dengan SARA, kerana kita sudah memperluaskan rakan niaga SARA ke seluruh negara, mereka tidak perlu keluar. Di tempat mereka sendiri sudah ada kedai seperti ini,” katanya.
Bukan sekadar bantu penerima
Amir Hamzah berkata pendekatan SARA bukan sekadar memberi manfaat secara langsung kepada penerima, malah turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mendapat limpahan ekonomi.
Katanya, kerajaan memberi penekanan kepada rakan niaga SARA supaya menjual produk tempatan, sekali gus membolehkan perbelanjaan penerima turut memberi manfaat kepada pengusaha dalam negara.
“Pendekatan kerajaan bukan saja untuk memberi kepada penerima, tetapi apa yang kita mahu adalah untuk menggalakkan usahawan-usahawan mendapatkan manfaat.
“Dengan mempromosikan produk-produk tempatan, limpahan yang datang dapat memberi gandaan kepada ekonomi di sini,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kewangan turut bekerjasama dengan pengusaha barangan tempatan untuk membantu menyenaraikan produk mereka di premis-premis lain yang mengambil bahagian dalam SARA.
Lebih 14,500 rakan niaga SARA
Menurutnya, sehingga kini terdapat lebih 14,500 rakan niaga SARA di seluruh negara, dengan kerajaan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 20,000 sebelum penghujung tahun ini.
Katanya, peluasan tersebut akan memberi penekanan kepada penyertaan lebih banyak kedai kecil dan syarikat korporat supaya manfaat program dapat dirasai dengan lebih meluas.

Amir Hamzah turut berkata pelaksanaan SARA dilihat berkesan berdasarkan kadar penggunaan dalam kalangan penerima yang layak, dengan lebih 99 peratus penerima menggunakan kemudahan tersebut.
Beliau berkata jumlah penerima SARA kini menghampiri sembilan juta orang, manakala peruntukan bagi STR dan SARA setiap tahun mencecah sehingga RM15 bilion.
Bantuan terus kepada golongan memerlukan
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus menyediakan ruang dalam perbelanjaan negara bagi program bantuan yang mampu membantu golongan berpendapatan dan berkemampuan rendah.
Katanya, langkah tersebut merupakan antara keutamaan kerajaan, termasuk melalui pelaksanaan subsidi bersasar bagi mewujudkan ruang fiskal untuk program yang lebih berkesan.
“Kita berpindah daripada subsidi yang tidak bersasar kerana kita mahu meningkatkan ruang untuk program-program yang lebih berkesan bagi memberi ruang kepada rakyat yang mungkin kekurangan kemampuan dan juga meningkatkan peluang usahawan-usahawan tempatan mendapat limpahan,” katanya.