Naik lagi 25 sen! RON97 cecah RM4.50, diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter

Naik lagi 25 sen! RON97 cecah RM4.50, diesel tanpa subsidi RM4.92 seliter

KUALA LUMPUR: Pengguna bahan api tanpa subsidi perlu bersedia membayar lebih apabila harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 25 sen seliter mulai hari ini.

Kenaikan itu susulan peningkatan harga minyak mentah dunia yang dipengaruhi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, selain gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga baharu berkenaan akan berkuat kuasa bagi tempoh 10 hingga 16 September ini.

diesel

Berdasarkan penetapan terbaharu, harga RON97 meningkat kepada RM4.50 seliter, berbanding harga sebelumnya, manakala RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM4.02 seliter.

Harga diesel tanpa subsidi pula meningkat kepada RM4.92 seliter.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak melibatkan bahan api yang masih menerima subsidi kerajaan.

Harga RON95 di bawah program BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel di bawah BUDI Diesel terus ditetapkan pada RM2.10 seliter.

Bagi sektor yang menerima subsidi menerusi Skim Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) dan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS), harga RON95 kekal pada RM2.05 seliter, manakala diesel pada RM2.15 seliter.

Perkembangan harga minyak dunia terus menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi penetapan harga bahan api secara berkala di negara ini.

Dalam kenyataan sama, kerajaan memberi jaminan akan terus memantau perkembangan harga minyak mentah dunia bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi, selain menjaga kepentingan rakyat.

Kenaikan 25 sen bagi bahan api tanpa subsidi itu bagaimanapun menjadikan perbezaan harga antara bahan api bersubsidi dan tanpa subsidi semakin ketara, khususnya bagi pengguna yang tidak menikmati manfaat subsidi berkenaan.

Sumber: Kementerian Kewangan