KOTA KINABALU: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak perlu terus diperkukuh sebagai asas penting dalam usaha mencari penyelesaian bersama berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, semangat kekeluargaan serta sikap saling menghormati perlu terus menjadi landasan dalam setiap perbincangan berkaitan MA63, khususnya bagi perkara yang masih memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut.
Beliau berkata, Sabah berbesar hati menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) kali ini dan menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama pimpinan Persekutuan serta Sarawak.

“Pertemuan kita pada malam ini membawa makna istimewa kerana esok kita akan kembali duduk semeja untuk meneruskan perbincangan mengenai pelaksanaan MA63.
“Walaupun terdapat perkara yang masih memerlukan perbincangan lanjut, semangat kekeluargaan dan saling menghormati perlu terus menjadi asas dalam perbincangan berhubung MA63.
“Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah terus menjadi asas penting dalam usaha kita mencari penyelesaian dan jalan bersama,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah Bersama Perdana Menteri bersempena Mesyuarat MTPMA63 di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, pertemuan berkenaan turut berlangsung dalam suasana yang cukup bermakna memandangkan Malaysia bakal menyambut Hari Malaysia ke-63 dalam beberapa hari lagi.
Katanya, semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 1963 perlu terus dijadikan panduan dalam memelihara hubungan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Lebih bermakna, kita akan menyambut Hari Malaysia ke-63 dalam beberapa hari lagi dan semoga semangat kebersamaan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963 terus menjadi panduan kepada kita untuk memelihara hubungan antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata majlis makan malam tersebut turut menjadi platform untuk memperkenalkan kekayaan budaya dan kesenian Sabah kepada para tetamu.
Beliau berkata, kepelbagaian suku kaum, bahasa, adat dan tradisi yang terdapat di Sabah merupakan antara elemen penting yang membentuk identiti negeri itu.
“Sabah merupakan negeri yang kaya dengan kepelbagaian suku kaum, bahasa, adat dan tradisi.
“Kepelbagaian inilah yang telah membentuk identiti Sabah dan menjadi sebahagian daripada kekayaan Malaysia yang kita kongsi bersama,” ujarnya.
Katanya, persembahan kebudayaan yang dipersembahkan pada malam berkenaan turut mencerminkan sebahagian daripada kepelbagaian budaya dan warisan yang menjadi identiti Sabah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah; Timbalan-timbalan Premier Sarawak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Negeri serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mesyuarat MTPMA63 yang berlangsung di Sabah itu menjadi antara medan penting bagi Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak meneruskan perbincangan mengenai pelaksanaan perkara-perkara berkaitan MA63, dengan semangat kerjasama dan persefahaman antara semua pihak.
Sumber : Jabatan Penerangan Sabah