TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes cabul membabitkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Kalabakan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.45 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 pagi ketika mangsa berada di sebuah rumah kedai di kawasan berkenaan.
“Mangsa mendakwa terdengar bunyi seperti kucing sebelum seorang lelaki membuka langsir dalam keadaan mukanya ditutup dan menghampirinya.
“Lelaki terbabit kemudian didakwa naik ke tilam tempat mangsa berada, menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan serta melawan ketika suspek cuba mendekatinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, mangsa turut mendakwa ditendang oleh lelaki terbabit sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Susulan laporan dan maklumat yang diterima, katanya, polis menjalankan tindakan segera bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an di kawasan Kedai-Kedai Bulatan Kalabakan kira-kira jam 9.45 pagi.
“Suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Rosdi menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan seksual yang membabitkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa serta masyarakat supaya sentiasa mengambil berat aspek keselamatan kanak-kanak dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlaku sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan dan menentukan tindakan selanjutnya terhadap suspek.
Sumber: Polis Daerah Tawau