KOTA BHARU: Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan bahawa kehidupan dalam penjara dipengaruhi faktor kewangan dan pengaruh, seperti didakwa penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman menerusi sebuah podcast baru-baru ini.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa, berkata pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani sebarang salah laku serta perkara negatif dalam kalangan penghuni penjara.
Menurutnya, fokus utama institusi penjara adalah terhadap aspek pemulihan dan usaha membantu penghuni membina kehidupan baharu selepas dibebaskan.

“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan dan cuba atasi perkara negatif yang berlaku di penjara.
“Kita akui mungkin ada perkara yang berlaku, tetapi ia tidak seperti didakwa. Ramai yang bebas daripada penjara berjaya membina kehidupan baharu, jadi kenapa kita mahu fokus kepada perkara negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, Isnin.
Mohamad Rosidek berkata, sebarang salah laku yang berlaku dalam penjara akan ditangani berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan, selain SOP sedia ada sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Yasin menerusi podcast AididitMyWay mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan yang antara lain dipengaruhi faktor kewangan dan pengaruh.

Mengulas isu kesesakan pula, Mohamad Rosidek berkata keadaan di Penjara Pengkalan Chepa masih berada pada tahap terkawal.
Katanya, Jabatan Penjara turut mengambil beberapa pendekatan bagi menguruskan jumlah penghuni, termasuk mewujudkan penjara satelit dan melaksanakan program reintegrasi yang membolehkan penghuni bekerja di luar penjara.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu menguruskan kapasiti penjara, malah memberi peluang kepada penghuni untuk menyesuaikan diri semula dengan kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 menerima sumbangan sebanyak 10,000 naskhah buku untuk kegunaan penghuni penjara di seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak.
Mohamad Rosidek berkata program yang dilancarkan pada Februari lalu itu dilaksanakan dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royal Chulan dan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) bagi menggalakkan masyarakat menyumbangkan buku baharu atau terpakai untuk kegunaan penghuni.
Katanya, sumbangan berkenaan merangkumi pelbagai bahan bacaan termasuk buku motivasi, fiksyen dan agama.
“SMO turut menyediakan diskaun 20 peratus bagi pembelian buku yang disumbangkan menerusi kempen di 31 premisnya,” katanya.