Hampir 100% ‘laku keras’, graduan PolyCC Sabah jadi buruan industri

Hampir 100% ‘laku keras’, graduan PolyCC Sabah jadi buruan industri

KOTA KINABALU: Graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) terus mencatat kadar kebolehpasaran tinggi apabila masing-masing merekodkan 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti pada 2025.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Seri Panglima Haji Hashim bin Paijan berkata, pencapaian itu membuktikan pendidikan dan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan PolyCC kekal relevan dengan keperluan industri serta perkembangan pasaran kerja semasa.

politeknik

“Graduan PolyCC sememangnya ‘laku keras’ dan amat disukai oleh pihak industri hasil kurikulum yang job-ready dan kemahiran yang relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah Tahun 2026 Sidang Empat di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurut Hashim, kejayaan PolyCC turut diperkukuh menerusi sinergi strategik bersama 23,580 rakan industri melalui pelbagai bentuk kolaborasi berimpak tinggi.

Kerjasama berkenaan, katanya, membantu memastikan kemahiran dan kompetensi yang dimiliki graduan memenuhi standard diperlukan industri serta keperluan negara.

politeknik

Dalam pada itu, majlis konvokesyen berkenaan turut meraikan seramai 2,052 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah, termasuk 671 graduan Kolej Komuniti yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Hashim berkata perkembangan tersebut turut memperlihatkan peranan penting pendidikan TVET dalam menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang selari dengan keperluan ekonomi semasa.

“Pendidikan TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi ia adalah pemandu utama dalam meningkatkan kemahiran (upskilling/reskilling) serta taraf hidup masyarakat, terutamanya dalam mendepani cabaran ekonomi semasa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga para graduan serta seluruh warga PolyCC, khususnya pensyarah, atas sokongan, dedikasi dan bimbingan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.

Pada tahun ini, seramai 29,609 graduan politeknik dan kolej komuniti diraikan menerusi enam majlis konvokesyen mengikut zon di seluruh negara.

Hashim berharap PolyCC terus memperkukuh peranan dalam melahirkan graduan TVET berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepakaran kepada negara.

Beliau turut mengingatkan para graduan bahawa mereka merupakan aset bernilai tinggi yang diperlukan oleh sektor industri dan masyarakat, khususnya dalam menghadapi perubahan serta keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.

Sumber : Jabatan Penerangan Daerah Tawau