Harga minyak naik lagi – RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen seliter

Harga minyak naik lagi – RON97, RON95 tanpa subsidi naik 15 sen seliter

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 15 sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober 2026, susulan tekanan terhadap bekalan produk petroleum bertapis di pasaran antarabangsa.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan harga RON95 tanpa subsidi kini meningkat kepada RM4.67 seliter berbanding RM4.52 sebelum ini.

Harga RON97 pula ditetapkan pada RM5.15 seliter, naik daripada RM5.00 seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi kekal pada RM5.27 seliter.

harga minyak

Menurut kementerian itu, kenaikan berkenaan berlaku ketika harga minyak mentah dunia kekal tinggi, dengan harga minyak mentah Brent berlegar sekitar AS$100 setong sepanjang tempoh pengiraan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Bagaimanapun, tekanan harga ketika ini lebih tertumpu kepada produk petroleum bertapis.

“Kenaikan itu berlaku ketika harga minyak mentah dunia kekal tinggi, dengan harga minyak mentah Brent berlegar sekitar AS$100 setong sepanjang tempoh pengiraan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Tekanan harga kini semakin tertumpu pada produk petroleum bertapis,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata, perkembangan berkenaan turut dipengaruhi keputusan China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober, sekali gus mengehadkan bekalan produk petroleum di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, pemulihan kapasiti penapisan dan bekalan produk petroleum bertapis global penting bagi membantu mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana.

Pada masa sama, perkembangan konflik di Asia Barat serta perang Rusia-Ukraine terus menjadi risiko terhadap kestabilan bekalan dan harga petroleum dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, penerima subsidi BUDI95 masih membayar RM1.99 seliter bagi RON95, berbanding harga tanpa subsidi RM4.67 seliter.

Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.68 bagi setiap liter, bersamaan kira-kira 57 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi.

Bagi penerima BUDI Diesel pula, harga yang dibayar kekal RM2.10 seliter, berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter.

Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM3.17 bagi setiap liter diesel yang diterima golongan berkenaan, bersamaan 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.

Kenaikan harga pasaran tanpa subsidi itu sekali lagi memperlihatkan kesan turun naik harga petroleum bertapis global, meskipun harga yang dibayar penerima subsidi BUDI95 dan BUDI Diesel kekal pada kadar yang ditetapkan kerajaan.