Langit Kalimantan Bertukar Merah, 1,176 Titik Panas Cetus Jerebu Tebal

Langit Kalimantan Bertukar Merah, 1,176 Titik Panas Cetus Jerebu Tebal

JAKARTA – Langit kemerahan dan jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan di Kalimantan, Indonesia susulan kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan kualiti udara merosot ke tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya.

Menurut laporan Portal Bernama, yang dipetik daripada kenyataan Kementerian Perhutanan Indonesia, sebanyak 1,176 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat malam Rabu.

Berdasarkan pemerhatian Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah, sebahagian Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan, Sumatera Selatan serta Jambi.

Di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, jarak penglihatan dilaporkan merosot kepada hanya 150 meter pada 12.30 tengah hari Rabu.

Peramal BMKG, Chandra Mukti berkata, keadaan angin yang lemah menyebabkan asap sukar tersebar dan kekal menyelubungi kawasan berkenaan.

Situasi itu turut dirakam menerusi beberapa video yang tersebar di media sosial, menunjukkan langit bertukar jingga kemerahan dengan asap tebal serta kebakaran dilihat merebak berhampiran kawasan perumahan di beberapa bahagian Kalimantan.

Keadaan jerebu turut memberi kesan kepada penduduk apabila beberapa penduduk di Palangka Raya melaporkan mengalami kerengsaan mata dan kesukaran bernafas.

Kebakaran dan Jerebu di Indonesia
Kebakaran dan Jerebu di Indonesia

Operasi pemadaman dipergiat

Kementerian Perhutanan Indonesia memaklumkan operasi memadam kebakaran terus dijalankan melalui tindakan di darat dan udara.

Sebanyak 61 pesawat dikerahkan bagi menyokong operasi berkenaan, termasuk 44 pesawat untuk pengeboman air manakala 17 lagi digunakan bagi rondaan udara dan pengubahsuaian cuaca.

Operasi turut melibatkan pasukan darat yang terdiri daripada anggota tentera, polis, agensi pengurusan bencana serta masyarakat tempatan.

Sehingga jam 9 malam Rabu, Kalimantan Tengah merekodkan 225 titik panas, meningkat daripada 182 pada hari sebelumnya.

Sumatera Selatan pula mencatat peningkatan ketara kepada 224 titik panas berbanding 71 sebelumnya, manakala Kalimantan Barat merekodkan 47 titik panas, Kalimantan Selatan 31 dan Jambi 16.

Jerebu turut ganggu penerbangan

Keadaan jerebu turut dilaporkan mengganggu operasi penerbangan di beberapa kawasan.

Di Lapangan Terbang Melalan, Kalimantan Timur, jarak penglihatan menurun kepada sekitar 500 meter pada Rabu, dengan beberapa penerbangan dilaporkan dibatalkan.

Sementara itu, di Lapangan Terbang Sultan Thaha, Jambi, jarak penglihatan merosot kepada 800 meter menjelang tengah hari, menyebabkan beberapa penerbangan dari dan ke Jakarta mengalami kelewatan.

Keadaan tersebut menunjukkan kebakaran hutan dan tanah bukan sahaja memberi kesan terhadap kualiti udara dan kesihatan penduduk, malah turut menjejaskan aktiviti harian serta sektor pengangkutan udara.