SANDAKAN: Gara-gara menegur bunyi ekzos sebuah kereta yang didakwa berulang kali dibunyikan dengan kuat, seorang lelaki berusia 23 tahun cedera selepas diserang lima individu di Bandar Utama IJM Batu 6, di sini, malam Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira jam 11.20 malam di Jalan Dataran BU 5 itu menyebabkan mangsa mengalami luka ringan di bahagian atas kening kiri, selain lebam pada hidung dan kedua-dua lengan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketika kejadian, mangsa sedang melepak bersama tiga rakannya di hadapan sebuah bangunan kedai yang tidak beroperasi.
Menurutnya, mangsa kemudian menegur pemandu Perodua Kancil berkenaan kerana mendakwa perbuatan membunyikan ekzos dengan kuat itu pernah berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan dia dan rakannya dimarahi polis trafik.
“Selepas ditegur, pemandu terbabit beredar sebelum meletakkan keretanya tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Tidak lama kemudian, lima individu datang bersama pemandu berkenaan sebelum menyerang dan memukul mangsa sehingga terbaring,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Serangan dirakam ketika siaran langsung TikTok
George berkata, kejadian itu turut dirakam selama 53 saat oleh seorang rakan mangsa yang sedang membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok.
Bagaimanapun, rakaman itu dihentikan kerana rakannya bimbang terhadap keselamatan diri ketika serangan berlaku.
Menurutnya, serangan hanya terhenti selepas beberapa individu lain yang berada berhampiran tampil meleraikan pergaduhan berkenaan.
Beliau berkata, tiada senjata digunakan dalam kejadian itu, manakala polis menerima laporan daripada mangsa pada awal pagi tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Usaha mengesan lima suspek sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di kawasan berkenaan tular di media sosial dan menarik perhatian orang ramai.