Op Cegah Maksiat Tawau : Polis-JHEAINS periksa lapan premis penginapan, enam individu diserahkan kepada JHEAINS

Op Cegah Maksiat Tawau : Polis-JHEAINS periksa lapan premis penginapan, enam individu diserahkan kepada JHEAINS

TAWAU – Seramai enam individu diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk tindakan lanjut selepas pemeriksaan bersepadu menerusi Op Cegah Maksiat/Pelacuran yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama JHEAINS Daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada hotel dan premis penginapan bajet di sekitar bandar Tawau.

Pemeriksaan melibatkan lapan premis penginapan di kawasan Jalan Bakau, Jalan Masjid, Jalan Dunlop dan Jalan Bunga. Antara aspek yang diperiksa termasuk lesen perniagaan serta dokumen pengenalan diri penyewa bilik.

Hasil pemeriksaan, enam individu disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah sebelum diserahkan kepada pihak JHEAINS untuk tindakan lanjut.

Daripada jumlah tersebut, empat individu dikenal pasti dalam pemeriksaan pertama, manakala dua lagi ditemukan dalam pemeriksaan seterusnya.

Menurut pihak polis, operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa dalam membendung kegiatan yang menyalahi undang-undang serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.

Orang ramai turut diseru supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.