Kereta mengundur ketika isi angin tayar, lelaki 59 tahun patah ibu jari di stesen minyak Tawau

Kereta mengundur ketika isi angin tayar, lelaki 59 tahun patah ibu jari di stesen minyak Tawau

TAWAU: Seorang lelaki berusia 59 tahun mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Viva yang mengundur secara mengejut di kawasan pam angin sebuah stesen minyak Petronas di Jalan Kuhara, di sini, pada 31 Oktober lalu.

Kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu berlaku apabila kereta berkenaan dipercayai bergerak ke belakang secara tiba-tiba ketika pemandunya cuba mengubah kedudukan kenderaan untuk mengisi angin tayar.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun yang datang ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar.

Menurutnya, pemandu berkenaan pada mulanya mendapati hos pam angin tidak dapat mencapai tayar hadapan sebelah kiri sebelum masuk semula ke dalam kereta untuk mengubah kedudukan kenderaan.

“Ketika cuba mengundur, pemandu dipercayai secara tidak sengaja terpijak pedal minyak menyebabkan kereta bergerak ke belakang secara mengejut.

“Kenderaan itu kemudian melanggar seorang lelaki yang sedang mencuci tangan di kawasan pam angin dan air, di belakang kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kejadian itu, mangsa yang juga orang awam mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika mengundur.

Polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengesan saksi lain bagi membantu siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Rosdi mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam kawalan, selain peka terhadap keadaan sekeliling, khususnya ketika mengundur di kawasan parkir dan stesen minyak.