KUALA LUMPUR – UMNO mengumumkan kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu telah mencapai sasaran dan mencukupi bagi tujuan membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Sumber : Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Menurut beliau, UMNO turut menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi ini.
Susulan perkembangan itu, UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang sebelum ini diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai.
Beliau berkata, tiada lagi keperluan untuk meneruskan usaha pendanaan awam atau crowdfunding bagi tujuan berkenaan selepas sasaran kutipan berjaya dicapai.
Dalam kenyataan sama, UMNO merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah serta penghargaan kepada seluruh ahli parti dan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan sumbangan sejak tabung itu mula diwujudkan.
Asyraf Wajdi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan sehingga membolehkan sasaran kutipan dana tersebut dipenuhi.
Dengan pengumuman itu, kutipan sumbangan melalui Tabung Solidariti Najib Razak secara rasmi berakhir selepas UMNO mengesahkan pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diselesaikan.