TAWAU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kategori intelektual berusia 33 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di tepi sungai berhampiran Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini, petang tadi.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang oleh bapanya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum ditemukan penduduk kampung sekitar jam 2 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 1.56 petang sebelum menggerakkan seramai 10 anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian dan mendapati mangsa berada di tepi sungai.
“Pasukan bomba kemudian turun ke sungai dan membawa mangsa naik ke darat menggunakan pengusung.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa merupakan OKU kategori intelektual yang tidak boleh bertutur dan menetap di Taman Dingin, Batu 1, Jalan Apas, Tawau.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 2.30 petang untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan.