SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan terapung di bawah sebuah rumah di Kampung Air, Jambatan 4, Jalan Bokara, di sini, Ahad lalu.
Mangsa ditemukan kira-kira jam 2.10 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.50 petang.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama neneknya di kawasan berkenaan selepas ibu bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama moyangnya yang uzur dan tidak mampu berjalan serta tiga kanak-kanak lain masing-masing berusia 10, enam dan setahun.
Mangsa dipercayai kali terakhir dilihat sedang tidur di dalam rumah kira-kira jam 2 petang, sebelum ditemukan terapung di bawah rumah kira-kira 10 minit kemudian.
“Bagaimanapun, tiada saksi yang melihat bagaimana mangsa boleh masuk ke dalam air,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
George berkata, siasatan turut mendapati jambatan di kawasan berkenaan tidak mempunyai pagar atau sebarang penghadang keselamatan.
Selain itu, pintu rumah juga didapati tidak berkunci dan boleh dibuka sendiri oleh mangsa.
Polis setakat ini belum memperincikan bagaimana mangsa boleh berada di bawah rumah sebelum ditemukan dalam keadaan berkenaan.