WASHINGTON, 1 Mac 2026 – OpenAI mengesahkan kerjasama dengan Jabatan Perang Amerika Syarikat (DOW) yang membolehkan teknologi kecerdasan buatan mereka, termasuk ChatGPT, digunakan dalam rangkaian ketenteraan AS.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, menerusi media sosialnya pada Sabtu, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai peranan AI dalam konteks ketenteraan.
Dalam kenyataan itu, OpenAI memaklumkan perjanjian itu mempunyai “lebih banyak kawalan keselamatan” berbanding perjanjian terdahulu dalam penempatan AI untuk tujuan keselamatan negara.
Syarikat itu menetapkan tiga garis merah utama iaitu:
Tiada penggunaan teknologi OpenAI untuk pengawasan domestik berskala besar.
Tidak digunakan untuk mengarah sistem senjata autonomi.
Tidak digunakan bagi keputusan automatik berimpak tinggi tanpa kelulusan manusia.
Menurut OpenAI, sistem berkenaan hanya akan dikerahkan melalui seni bina berasaskan awan (cloud-only) dengan lapisan keselamatan dikawal syarikat serta penglibatan jurutera dan penyelidik keselamatan yang mempunyai kelulusan khas.
Kontrak tersebut turut menegaskan bahawa penggunaan AI mestilah mematuhi undang-undang Amerika Syarikat termasuk keperluan kawalan manusia dalam sistem autonomi serta larangan pemantauan tanpa had terhadap maklumat peribadi rakyat AS.
OpenAI menyatakan kerjasama itu bertujuan memastikan pihak yang berafiliasi dengan Amerika Syarikat mempunyai alat terbaik, sambil mengekalkan prinsip demokrasi dan perlindungan keselamatan teknologi AI.
#TawauKini



