“Bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia” – Tegas Hajiji tentang perjuangan Hak Sabah

“Bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia” – Tegas Hajiji tentang perjuangan Hak Sabah

KOTA KINABALU – Perjuangan hak dan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia bukan bermaksud mahu menjauhkan negeri itu daripada Malaysia, sebaliknya bertujuan memperkukuhkan asas Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Menurut Hajiji, segala hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan dan direalisasikan melalui kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata pendekatan kerajaan negeri dalam mempertahankan kepentingan Sabah akan terus dilakukan melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.

“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.

Hajiji berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah malam ini, yang teksnya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Menurutnya, 16 September memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati semula kedudukan Sabah dalam Persekutuan, khususnya berkaitan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas penting hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.

Selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, Hajiji berkata makna Hari Malaysia kekal besar kerana negara ini dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai sebuah Persekutuan yang berdaulat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan perpaduan perlu terus dipelihara kerana kekuatan Malaysia turut bergantung kepada keharmonian rakyat pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan.

“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan. Dalam era media sosial, kita juga perlu lebih bijaksana menilai maklumat, menolak fitnah dan sentimen yang memecah-belahkan, serta menggunakan teknologi untuk mendekatkan masyarakat dan membuka peluang baharu,” katanya.

Beliau turut menyifatkan generasi muda sebagai golongan yang mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa semangat Hari Malaysia ke masa hadapan, termasuk dengan memahami sejarah, menghargai warisan serta menjaga keamanan, perpaduan dan kedaulatan negara.

Mengulas tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, Hajiji berkata kemajuan tidak seharusnya hanya diukur melalui angka atau pembangunan fizikal, tetapi perlu dapat dirasai dalam kehidupan rakyat secara adil, inklusif dan saksama.

Bagi Sabah, katanya, perkara itu termasuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, meningkatkan ketersambungan serta memperluas peluang ekonomi hingga ke akar umbi.

“Perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Hajiji turut menyeru rakyat Malaysia menjadikan sambutan Hari Malaysia ke-63 sebagai titik tolak untuk terus bekerja lebih kuat demi kemajuan dan kemakmuran bersama, selain berharap Malaysia amnya dan Sabah khususnya kekal aman serta makmur.