Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas empat pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Menurut keputusan mahkamah, Najib didapati bersalah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana menggunakan jawatan dan kedudukannya untuk memperoleh suapan.
Mahkamah bukan sahaja mensabitkan beliau atas pertuduhan pertama, malah turut mendapati Najib bersalah atas pertuduhan kedua, ketiga dan keempat yang melibatkan kesalahan sama.
Najib, 72, didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara Februari 2011 hingga Disember 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan.
Selain itu, beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi di bank yang sama antara Mac hingga Ogos 2013.
Kesalahan salah guna kuasa di bawah Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta, jika sabit kesalahan.




