300 keluarga Sabah terima rezeki raya! Yayasan PETRONAS hulur bantuan pek makanan

KOTA KINABALU: Yayasan PETRONAS menyumbang 300 pek makanan kepada isi rumah memerlukan di Sabah sempena sambutan hari raya tahun ini menerusi program Memacu Kehidupan Festive.

Sumbangan itu diumumkan sempena Majlis Berbuka Puasa PETRONAS Sabah 2026 yang diadakan di Hotel Le Meridien, di sini.

Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan yang bertujuan meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Nelly Shariah Francis.

“Daripada jumlah itu, 120 pek diagihkan masing-masing di Putatan dan Papar, manakala 60 pek lagi di Tenom,” katanya dalam satu kenyataan Petronas, pada Rabu.

Baca Juga:

Majlis penyampaian itu turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Safar Untong, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Bacho Pilong serta Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.

Sementara itu, baki pek makanan akan diagihkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah secara berperingkat sepanjang bulan Ramadan.

“Setiap pek mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh selain kuih-muih perayaan bagi membantu penerima membuat persiapan Aidilfitri,” jelasnya.

Program Memacu Kehidupan Festive merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial Yayasan PETRONAS yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti termasuklah pendidikan, mempromosikan kelestarian alam sekitar serta memperkukuh ketahanan masyarakat di seluruh Sabah.

Dalam pada itu, Yayasan PETRONAS turut menyumbang 30 unit peranti penjejakan satelit kepada Marine Research Foundation (MRF) bagi menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *