Lelaki warga asing ditahan selepas disyaki tikam lelaki di Kampung Batu 4, Tawau

Lelaki warga asing ditahan selepas disyaki tikam lelaki di Kampung Batu 4, Tawau

TAWAU: Polis menahan lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kejadian mencederakan seorang lelaki menggunakan senjata selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Air Batu 4, Jalan Apas.

Suspek berusia lingkungan 36 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan susulan kejadian berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Air Batu 4 apabila mangsa, seorang lelaki berusia sekitar 42 tahun, dipercayai diserang suspek selepas berlaku perselisihan faham.

Baca Juga: Kempen Internet Selamat 2026 : Nizam gesa rakyat tingkatkan literasi digital

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan sebelah kanan akibat ditikam menggunakan objek oleh suspek.

“Akibat kejadian itu, mangsa menerima rawatan di Hospital Tawau sebelum membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya menahan suspek di hadapan sebuah rumah di Kampung Air Batu 4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas sebatang kayu bakau sepanjang kira-kira 112 sentimeter yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dan dijadikan barang kes

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai berada di negara ini secara tidak sah.

Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya, selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952.