Sabah telah belanja RM1 bilion untuk projek bekalan air – Hajiji

Sabah telah belanja RM1 bilion untuk projek bekalan air – Hajiji

SEMPORNA : Kerajaan Sabah terus mempergiat usaha menyelesaikan masalah infrastruktur asas yang diwarisi sejak sekian lama, termasuk membabitkan jalan raya, bekalan air dan elektrik di seluruh negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, lebih RM1 bilion kini dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai projek berkaitan bekalan air sebagai sebahagian usaha meningkatkan keupayaan serta kestabilan sistem bekalan air negeri.

Menurutnya, beberapa projek berskala besar sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat, termasuk projek di Tawau yang kini mencapai kemajuan antara 50 hingga 60 peratus.

air

“Terdapat dua tiga projek besar yang akan siap tidak lama lagi. Satu daripadanya hujung tahun ini dan di sebelah Tawau pun progres lebih kurang 50 hingga 60 peratus.

“Kita ganti paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak kebocoran, banyak kecurian dan sebagainya,” katanya.

Hajiji berkata, masalah bekalan air yang berlaku di Sabah bukan isu baharu yang hanya timbul ketika pentadbiran kerajaan semasa, sebaliknya merupakan masalah yang telah diwarisi sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan berterusan dan melaksanakan langkah terbaik bagi memastikan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat.

“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.

“Betullah orang politik, air tiada, dia salahkan kerajaan kita. Tapi apa dia yang buat waktu dia berkuasa, tidak ada apa-apa. Yang penting kita positif saja, kita baik, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) di Jalan Bubul, di sini, hari ini.

Projek komersial rancakkan ekonomi Semporna

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pembangunan 106 unit kedai dua tingkat yang dibangunkan LPBB dijangka memberi suntikan baharu kepada kegiatan ekonomi di Semporna.

Menurutnya, projek berkenaan amat bertepatan dengan kedudukan Semporna sebagai antara daerah pelancongan utama yang menerima kehadiran ramai pelawat.

“Saya merasmikan pelancaran projek LPBB, unit kedai yang telah siap 106 unit dan juga pelancaran fasa kedua dan ketiga, juga unit kedai.

“Ini menunjukkan ia akan lebih merancakkan ekonomi di daerah Semporna ini.

air

“Semporna adalah daerah pelancongan di mana pelancong banyak datang ke sini dan saya yakin dengan terbinanya kedai-kedai ini akan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membeli-belah ataupun datang untuk makan, minum dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan sektor komersial itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong, malah membuka lebih banyak ruang kepada penduduk tempatan dan kawasan sekitar untuk menceburi aktiviti perniagaan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak pemaju, projek komersial berkenaan turut merangkumi pembinaan sebuah jeti yang akan dilaksanakan sendiri oleh pihak terbabit.

Dasar mesra pelabur buka peluang pekerjaan

Hajiji berkata, pembangunan projek komersial dan ekonomi di Semporna juga selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam usaha memperluas penyertaan rakyat, pemaju dan sektor swasta dalam pembangunan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri mengamalkan dasar terbuka dan mesra pelabur bagi menarik lebih banyak pelaburan serta menggalakkan aktiviti ekonomi di Sabah.

“Antara hala tuju kita dalam SMJ ialah peluang kepada semua rakyat, pemaju dan pihak swasta. Kita mempunyai dasar yang terbuka, ‘friendly investor’. Ini sahaja cara kita untuk maju ke hadapan.

“Kita gubal satu dasar yang memudahkan para pemaju dan juga pelabur daripada luar datang ke sini kerana kalau ada pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita akan wujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita seluas-luasnya,” katanya.

Menurutnya, kemasukan pelaburan baharu bukan sahaja penting dari sudut pembangunan fizikal, malah berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi setempat.

Secara keseluruhannya, kerajaan negeri dilihat memberi tumpuan serentak kepada penyelesaian masalah infrastruktur asas serta pengukuhan aktiviti ekonomi bagi memastikan pembangunan Sabah dapat diteruskan secara lebih menyeluruh.

SUMBER: Astro Awani