KSU KPM turun padang ke Tawau, tiga projek sekolah RMK jadi tumpuan

KSU KPM turun padang ke Tawau, tiga projek sekolah RMK jadi tumpuan

TAWAU: Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tawau, Sabah bagi meninjau perkembangan aspek pendidikan, pembangunan serta kesiapsiagaan sekolah menjelang sesi persekolahan tahun hadapan.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany bin Megat Ahmad Supian.

rmk

Antara agenda utama lawatan ialah Sesi Libat Urus (SLU) bersama Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dari seluruh Sabah yang memberi tumpuan kepada aspek pembangunan, penyelenggaraan dan pengurusan institusi pendidikan.

Sesi berkenaan turut menekankan aspek kesiapsiagaan sekolah bagi menerima kemasukan murid Tahun 1 daripada Kohort Umur 6 Tahun untuk sesi persekolahan tahun hadapan.

Selain itu, Wan Hashim turut mengambil kesempatan dalam rangka lawatan berkenaan untuk meninjau tiga tapak projek di bawah Rancangan Malaysia (RMK) yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

rmk

Tiga lokasi yang ditinjau ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau II dan SK Melodi Apas Jaya.

Lawatan ke tapak projek berkenaan memberi tumpuan terhadap perkembangan pelaksanaan projek pendidikan yang menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan serta infrastruktur sekolah di Sabah.

KPM dalam satu kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau atas kerjasama serta penyelarasan yang baik sepanjang pelaksanaan lawatan kerja berkenaan.

Lawatan rasmi itu mencerminkan perhatian berterusan KPM terhadap aspek pembangunan infrastruktur, pengurusan sekolah dan kesiapsiagaan pendidikan, khususnya dalam memastikan institusi pendidikan bersedia menghadapi keperluan sesi persekolahan akan datang.