Dua kakitangan RELA didakwa kemuka tuntutan matan palsu RM29,440

Dua kakitangan RELA didakwa kemuka tuntutan matan palsu RM29,440
TAWAU: Dua kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana, bernilai RM29,440.
Tertuduh, Mohamad Ihsan Said, 42 dan Radzmil Saadan, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ihsan didakwa dengan disedarinya memberikan kepada seorang ejen iaitu dokumen tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut yang mengandungi butiran palsu.
rela
Tiga tuntutan itu masing-masing berjumlah RM9,600, RM9,920 dan RM9,920 yang dilakukan di Pejabat RELA daerah Lahad Datu, antara Disember 2022 hingga Februari 2023.
Sementara Radzmil didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat bersama Mohamad Ihsan melakukan kesalahan berkenaan dengan menyemak borang tuntutan elaun terbabit.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 dan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, selain syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak menghubungi saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam bela kedua-dua tertuduh, Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab kemudian memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam yang masih berkhidmat, tiada rekod jenayah, perlu menyara keluarga dan anak-anak serta memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan yang beralamat tetap di Tawau dengan deposit RM3,000 dan membenarkan syarat-syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan bagi sebutan semula pada 23 Oktober 2026