JPJ gantung perkhidmatan MYEG mulai hari ini, orang ramai boleh guna saluran alternatif

JPJ gantung perkhidmatan MYEG mulai hari ini, orang ramai boleh guna saluran alternatif

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut bagi pihak JPJ, berkuat kuasa 12.01 tengah malam hari ini, 5 Oktober 2026.

Menurut kenyataan media JPJ bertarikh 2 Oktober, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi atau tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

Selaras dengan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG digantung mulai 5 Oktober 2026.

Bagaimanapun, JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi berkenaan bagi memastikan urusan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

Tidak semua urusan perlu dibuat di kaunter JPJ

Penggantungan MYEG tidak bermaksud orang ramai perlu hadir ke kaunter JPJ bagi setiap urusan.

Berdasarkan senarai saluran alternatif yang disediakan JPJ, beberapa urusan masih boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ atau Portal Awam JPJ, selain menggunakan kios, kaunter Mobile JPJ dan saluran lain yang ditetapkan mengikut jenis urusan.

Ini saluran alternatif mengikut jenis urusan

MYEG

Sumber : JPJ

1. Pertukaran hak milik

Bagi urusan pertukaran hak milik, orang ramai boleh menggunakan:

  • Kaunter JPJ
  • Kios JPJ bagi motosikal persendirian milik individu warganegara
  • Portal Awam JPJ bagi persendirian individu warganegara dan persendirian syarikat
  • Syarikat eAuto, termasuk Sistem Tukar Hak Milik Sementara dan eSerahan Tukar Hak Milik

2. Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM)

Bagi pembaharuan lesen kenderaan motor, saluran yang disediakan ialah:

  • Kaunter JPJ
  • Aplikasi MyJPJ bagi kenderaan persendirian dan e-hailing
  • Portal Awam JPJ bagi kenderaan persendirian dan e-hailing
  • Kios JPJ bagi kenderaan persendirian
  • Kaunter Mobile JPJ bagi kenderaan persendirian dan perdagangan
  • Pejabat Pos bagi kenderaan persendirian
  • PUSPAKOM bagi kenderaan persendirian dan perdagangan kategori de-controlled

3. Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL)

Bagi pembaharuan lesen memandu Malaysia, orang ramai boleh menggunakan:

  • Kaunter JPJ
  • Aplikasi MyJPJ
  • Portal Awam JPJ
  • Kios JPJ
  • Kaunter Mobile JPJ
  • Pejabat Pos

4. Permohonan Lesen Memandu Malaysia (LDL)

Bagi permohonan LDL pula, saluran yang tersedia adalah:

  • Kaunter JPJ
  • Aplikasi MyJPJ
  • Portal Awam JPJ
  • Kios JPJ
  • Kaunter Mobile JPJ

5. Semakan dan pembayaran saman

Bagi urusan semakan serta pembayaran saman, orang ramai boleh menggunakan:

  • Kaunter JPJ
  • Aplikasi MyJPJ
  • Portal Awam JPJ
  • Kios JPJ
  • Kaunter Mobile JPJ

Tempahan KPP01 yang dibuat sebelum 5 Oktober masih diteruskan

Dalam pada itu, terdapat pengecualian bagi Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01).

JPJ memaklumkan tempahan KPP01 yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum tarikh kuat kuasa, iaitu 5 Oktober 2026, masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, bagi tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Oktober 2026, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di institut memandu di seluruh Malaysia.

Bayaran saman di pintu masuk Malaysia-Singapura turut disediakan

Bagi urusan pembayaran saman yang melibatkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, JPJ menyediakan kemudahan melalui Unit Mobile JPJ.

Kemudahan tersebut ditempatkan di:

  • Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB)
  • Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor

Unit berkenaan beroperasi mulai 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

JPJ menegaskan pihaknya kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, selain memastikan setiap urusan dapat dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti.

Dengan penggantungan tersebut, orang ramai yang sebelum ini bergantung kepada MYEG bagi urusan JPJ perlu beralih kepada saluran rasmi atau alternatif yang ditetapkan mengikut jenis perkhidmatan masing-masing.