KOTA KINABALU – Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pemaju mukim diminta lebih proaktif turun padang untuk mengenal pasti keperluan rakyat, selain memastikan dasar serta pencapaian kerajaan dapat dijelaskan kepada masyarakat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, PPM dan pemaju mukim merupakan tulang belakang kerajaan di peringkat akar umbi yang memikul amanah besar dalam memastikan dasar kerajaan diterjemahkan serta difahami rakyat.
Beliau berkata, pemimpin masyarakat itu juga bertanggungjawab menyampaikan masalah dan keperluan penduduk kepada wakil rakyat, menteri serta kepimpinan kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Apabila turun padang, kita mesti pandai mendengar masalah rakyat dan melaporkannya kepada wakil rakyat, menteri serta Ketua Menteri,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), malam Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa permohonan dan keutamaan pembangunan di kawasan masing-masing perlu disalurkan melalui saluran yang betul, bukannya diserahkan kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Katanya, beliau mendapati terdapat permohonan yang dikemukakan oleh kontraktor sedangkan perkara berkenaan sepatutnya disampaikan oleh PPM, Pegawai Daerah dan wakil rakyat.
Sehubungan itu, Hajiji mahu PPM dan pemaju mukim memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing.
Beliau turut mahu pemimpin masyarakat berkenaan menjelaskan pencapaian kerajaan sepanjang lima tahun lalu serta program yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Dalam bidang pendidikan, Hajiji berkata kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion bagi membantu anak Sabah sepanjang lima tahun lalu, termasuk lebih RM600 juta untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 pelajar.
Antara bantuan lain yang disediakan ialah RM200 kepada setiap pelajar Tingkatan Lima sebelum menduduki peperiksaan, melibatkan kira-kira 35,000 hingga 40,000 pelajar setahun.
Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan RM300 kepada pelajar Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini untuk pulang menyambut Kaamatan, Hari Raya dan Krismas, selain subsidi tiket penerbangan RM600 setahun kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung.
Dalam aspek kebajikan, kira-kira 140,000 penerima yang layak menerima bantuan RM200 setiap bulan menerusi inisiatif SYUKUR. Kerajaan juga telah membina lebih 11,000 rumah melalui program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Bagi sektor bekalan air, Hajiji berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM1 bilion bagi projek pembinaan loji rawatan air sepanjang lima tahun lalu.
Antaranya, projek loji rawatan air di Tawau yang mencapai kemajuan fizikal sekitar 50 hingga 60 peratus menerusi pinjaman mudah hampir RM400 juta, manakala projek loji rawatan air Kogopon di Papar yang menggunakan pinjaman mudah RM385 juta dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Kerajaan negeri turut memperoleh pinjaman mudah RM300 juta bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air di seluruh Sabah, dengan beberapa projek sudah siap dan selebihnya dijangka siap tahun depan.
Hajiji berkata Sabah masih berdepan kadar air tidak berhasil (NRW) sekitar 60 peratus akibat kecurian air dan kebocoran paip. Sehubungan itu, RM100 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip lama dan rosak di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Kudat dan Pulau Banggi.
Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan sedang melaksanakan projek Empangan Ulu Padas menerusi kerjasama Sabah Energy Corporation dan syarikat swasta Gamuda. Projek itu bukan sahaja bertujuan membekalkan tenaga elektrik, malah air untuk tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang dan dijangka siap pada 2030 atau 2031.
Hajiji turut mahu PPM membantu menjelaskan isu pembangunan jalan raya dan kemudahan awam berdasarkan fakta, termasuk membezakan tanggungjawab kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, mereka perlu memainkan peranan menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat, khususnya golongan yang tidak mengikuti perkembangan di media sosial, bagi mengelakkan salah faham terhadap usaha kerajaan.