TAWAU: Penantian lebih empat dekad penduduk Kampung Kinabutan Bukit untuk memiliki sebuah masjid sendiri akhirnya menjadi kenyataan apabila Masjid Al-Ghafur siap dibina hasil semangat gotong-royong, kerjasama komuniti serta sumbangan pelbagai pihak.
Sebelum ini, penduduk kampung bergantung kepada kemudahan masjid yang beroperasi di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Kinabutan sejak era 1980-an berikutan kesukaran mendapatkan tapak yang sesuai untuk pembinaan rumah ibadat.
Impian yang sekian lama terpendam akhirnya dapat direalisasikan apabila seorang penduduk mewakafkan tapak rumah miliknya yang tidak lagi didiami untuk dijadikan lokasi pembinaan masjid.
Pengerusi Masjid Al-Ghafur, Ustaz Sukianto Launa, berkata pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan secara swadaya menerusi sumbangan penduduk, pemimpin setempat dan pelbagai pihak dengan kos keseluruhan kira-kira RM250,000.

“Lebih 40 tahun penduduk mengimpikan sebuah masjid sendiri, namun masalah kepadatan penempatan dan kekurangan tapak menyebabkan hasrat itu tidak dapat direalisasikan sebelum ini. Alhamdulillah, apabila ada penduduk yang menyerahkan tapak rumahnya, ia membuka ruang untuk pembinaan Masjid Al-Ghafur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Masjid Al-Ghafur yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas.
Sementara itu, Nizam berkata pembinaan Masjid Al-Ghafur membuktikan bahawa semangat kerjasama dan pengorbanan masyarakat mampu merealisasikan impian untuk memiliki sebuah rumah ibadat yang lebih selesa.
Menurut beliau, masjid yang sebelum ini beroperasi di kawasan sekolah berdepan beberapa kekangan dari segi peraturan serta pelaksanaan aktiviti keagamaan.
“Dengan adanya masjid baharu ini, penduduk kini mempunyai ruang yang lebih sesuai untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti kelas al-Quran, program dakwah dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa masjid yang diketuai oleh Ustaz Sukianto Launa serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan pembinaan rumah ibadat tersebut.
“Saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa masjid yang diketuai Ustaz Sukianto Launa serta semua pihak yang terlibat kerana berjaya menyiapkan pembinaan masjid ini dalam tempoh kira-kira dua tahun,” katanya.
Nizam turut memaklumkan bahawa tapak Masjid Al-Ghafur merupakan sebahagian daripada tanah kerajaan yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah untuk dijadikan tapak rumah ibadat.
Beliau berharap masjid itu akan terus dimakmurkan dengan pelbagai program keagamaan serta menjadi pusat penyatuan masyarakat di Kampung Kinabutan Bukit.
“Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi juga pusat penyatuan masyarakat, mengeratkan silaturahim dan membentuk komuniti yang sentiasa dekat dengan nilai-nilai Islam,” katanya.
Pembinaan Masjid Al-Ghafur bukan sahaja menamatkan penantian lebih 40 tahun penduduk Kampung Kinabutan Bukit, malah menjadi simbol perpaduan, semangat gotong-royong dan keprihatinan masyarakat dalam merealisasikan sebuah impian yang telah lama dinantikan.