SEMPORNA: Kerajaan Sabah mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap sebuah resort di Semporna susulan kejadian seorang pelancong wanita warga China didakwa dicabul dan diserang oleh seorang penceroboh ketika berada di dalam biliknya, awal Sabtu lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihak berkuasa pelancongan negeri telah diarahkan untuk meneliti aspek keselamatan resort berkenaan, termasuk kemungkinan berlaku kelemahan kawalan keselamatan yang membawa kepada kejadian itu.
Beliau berkata, siasatan turut merangkumi status pelesenan premis berkenaan serta tahap keselamatan dan kawalan yang disediakan kepada para pengunjung.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan berkaitan untuk segera meneliti penginapan berkenaan, termasuk status pelesenan, langkah keselamatan dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan.
“Pihak berkenaan akan menyelaras dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jafry menegaskan pengusaha sektor pelancongan, termasuk penyedia penginapan, mempunyai tanggungjawab memastikan premis masing-masing menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada setiap tetamu.
Menurutnya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani dengan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Ketika kita menuju Visit Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat.
“Sabah mesti terus menjadi destinasi yang membuatkan pengunjung berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik tindakan pantas polis yang berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Jafry berkata, kejadian membabitkan pelancong China itu dipandang serius kerana keselamatan dan kebajikan setiap pengunjung ke Sabah perlu menjadi keutamaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah dilaporkan berkata seorang remaja ditahan berhubung kejadian seorang pelancong wanita warga China berusia 25 tahun didakwa dicabul dan diserang di sebuah resort di Jalan Kamiri, kira-kira jam 3 pagi Sabtu lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang tidur bersendirian sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di dalam biliknya.
Mangsa kemudian berjaya melarikan diri daripada suspek ketika kejadian sebelum bersembunyi di kawasan semak berhampiran sehingga ditemui seorang pekerja resort pada keesokan paginya.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan masing-masing berkaitan kesalahan pencerobohan rumah dan serangan atau penggunaan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seseorang.