Hanya 34% lapor diri, MMA bimbang Sabah makin kritikal kekurangan doktor

Hanya 34% lapor diri, MMA bimbang Sabah makin kritikal kekurangan doktor

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah memberi amaran bahawa masalah kekurangan doktor di negeri itu semakin serius apabila kadar pegawai perubatan dari luar Sabah yang menerima penempatan dan melapor diri di hospital dilaporkan rendah.

Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang, berkata berdasarkan maklumat yang diterima MMA Sabah, seramai 138 pegawai perubatan dari luar Sabah dijangka melapor diri di hospital seluruh negeri, namun hanya 47 orang atau kira-kira 34 peratus berbuat demikian ketika data berkenaan dikumpulkan.

Menurutnya, angka tersebut hanya membabitkan penempatan di hospital dan tidak termasuk pegawai perubatan yang ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah serta klinik kesihatan kerajaan.

doktor

Katanya, maklumat di peringkat fasiliti selain maklum balas daripada doktor turut menunjukkan sebahagian besar hospital yang terjejas dalam pergerakan penempatan terbaharu pegawai perubatan mengalami kehilangan bersih tenaga kerja, berbanding pertambahan.

Sehubungan itu, MMA Sabah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerbitkan serta mengesahkan keseluruhan angka pelaporan pegawai perubatan di Sabah bagi membolehkan keadaan sebenar kekurangan tenaga kerja dinilai secara lebih tepat.

Brandon berkata, isu berkenaan berlaku ketika banyak hospital di Sabah sendiri sudah beroperasi dengan jumlah tenaga kerja yang tidak mencukupi.

Malah, katanya, MMA Sabah menerima maklum balas mengenai beberapa jabatan yang memerlukan pegawai perubatan bertugas atas panggilan selang sehari berikutan kekurangan doktor bagi menyediakan jadual kerja yang mencukupi.

“Ini tidak mampan. Kita tidak boleh menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dengan terus meminta doktor yang masih ada bekerja lebih banyak,” katanya.

Menurut beliau, keadaan berkenaan berpotensi mewujudkan kitaran kekurangan kakitangan, keletihan dan burnout, selain mendorong penghijrahan tenaga kerja.

Dalam masa sama, pesakit berisiko berdepan tempoh menunggu yang lebih panjang serta kemungkinan kelewatan mendapatkan rawatan.
MMA Sabah turut menyokong gesaan Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan, supaya struktur insentif bagi doktor yang berkhidmat di Malaysia Timur dikaji semula, termasuk cadangan mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan.

Antara langkah lain yang dicadangkan termasuk memperkukuh bantuan perpindahan, memberikan kepastian mengenai tempoh penempatan di Malaysia Timur, menambah baik kemudahan kuarters serta mengiktiraf perkhidmatan di kawasan kurang mendapat liputan menerusi peluang kerjaya dan latihan pascasiswazah.

Pada masa sama, MMA Sabah berkata kerajaan negeri juga boleh memainkan peranan melalui penyediaan perumahan kakitangan, pemberian insentif tambahan khusus Sabah, penambahbaikan kemudahan asas di kawasan luar bandar serta usaha melahirkan lebih ramai doktor berasal dari Sabah.

Brandon menegaskan, kewujudan jawatan secara rasmi tidak mencukupi sekiranya doktor yang dilantik tidak berada di lapangan untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

“Jawatan tetap yang tidak diterima oleh mana-mana doktor tidak merawat pesakit. Perjawatan yang hanya wujud di atas kertas tidak mengendalikan hospital.

“Sabah memerlukan doktor yang benar-benar berada di lapangan,” katanya.

MMA Sabah menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil tindakan secara bersama bagi menangani isu berkenaan sebelum tekanan akibat kekurangan tenaga kerja memberi kesan lebih besar terhadap keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.